Semalam kita menyambut kedatangan tahun baru 2010. Tentunya sebahagian dari kita membuat pelbagai azam atau resolusi tahun ini. Mungkin anda ingin mengurangkan berat badan, membeli kereta baru, atau mendirikan rumah tangga dan lain-lain lagi.
Tahniah! Anda telah mempunyai resolusi. Bagaimana pula dengan resolusi kewangan anda?
Berikut adalah beberapa cadangan resolusi kewangan yang sesuai dengan keperluan, matlamat dan gaya hidup yang boleh dipraktikkan:
- Resolusi Kewangan 1
Ketahui matlamat kewangan yang mahu dicapai. Buat matlamat kewangan yang S.M.A.R.T dan mulakan usaha ke arah mencapai matlamat itu. Contohnya, matlamat kewangan anda tahun ini mungkin untuk melangsaikan semua hutang kad kredit (tambahan pula mulai tahun ini caj RM50 akan dikenakan bagi setiap kad).
Anda boleh cuba menghentikan penggunaan kad kredit dan mula membayar melebihi jumlah minimum yang dikenakan dalam penyata setiap bulan. Selain itu anda perlu menetapkan tarikh yang specifik dan realistik untuk menjelaskan baki tertunggak, mengikut kemampuan anda.
- Resolusi Kewangan 2
Dalam keadaan ekonomi sekarang, anda perlu bijak mengurus kewangan anda. Elakkan membeli mengikut gerak hati atau berbelanja bagi barangan tidak perlu. Anda perlu membiasakan diri membuat bajet bagi setiap pembelian dan melunsaskan hutang sebanyak yang boleh.
Contohnya, menyimpan 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan dan menyediakan dana kecemasan iaitu enam bulan daripada perbelanjaan bulanan.
- Resolusi Kewangan 3
Tingkatkan pengetahuan kewangan anda. Tanamkan tabiat membaca sekurang-kurangnya sebuah buku mengenai pengurusan kewangan bagi meluaskan pengetahuan. Atau anda juga boleh menghadiri kursus berkaitan kewangan.
- Resolusi Kewangan 4
Jika anda telah berkeluarga, anda boleh mendidik anak anda mengenai pengurusan kewangan. Jangan memberi wang saku kepada anak anda tanpa menerangkan nilai wang itu serta cara menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik. Mulakan menanam tabiat menabung dan berbelanja dengan bijak pada mereka seawal boleh.
- Resolusi Kewangan 5
Elakkan pelaburan tidak sah! Paling penting hanya melabur dalam pelaburan sah sahaja. Berwaspada apabila ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan melampau tinggi dan tanpa risiko.
Jika anda mengesyaki pelaburan mempunyai elemen tidak sah, periksa lesen syarikat dan hubungi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia ( www.sidc.com.my) bagi memastikan kesahihannya. Ataupun anda boleh mendapatkan maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN di web Palbur Malaysia (www.min.com.my) untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.
Tahun 2010 bakal menewarkan peluang dan cabaran baru. Apa perlu anda buat ialah berpegang kepada resolusi kewangan yang telah ditetapkan. Berbekalkan azam, perancangan, tekad dan usaha yang berterusan, tidak mustahil 2010 menjadi tahun kewangan yang berjaya untuk anda!


Be First To Comment
Leave Your Comments Below