
Sebahagian pelabur penternakan cacing menunjukkan gambar ahli lembahaga pengarah di depan syarikat berkenaan.
Laba yang diharapkan, bala yang datang. Begitulah nasib ratusan pelabur di daerah Kulim, Kedah, apabila dianggarkan lebih RM30 juta wang pelaburan mereka lesap begitu sahaja selepas pengarah sebuah syarikat yang menjalankan skim pelaburan penternakan cacing menghilangkan diri sejak Disember lalu.
Mereka mendakwa tidak kurang 3,000 individu dari seluruh negara menjadi mangsa syarikat tersebut yang turut mempunyai cawangan di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Berikutan itu, pelabur terbabit bukan sahaja berputih mata tetapi ada yang terpaksa menanggung beban hutang kerana terdapat wang pelaburan itu dipinjam daripada pelbagai pihak.
Malah, pejabat penganjur skim itu di Jalan Kilang Lama di sini, dikatakan disita pemilik bangunan awal Disember lalu kerana tidak melunas sewa hampir RM10,000.
Selepas berasa tertipu dengan skimpelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan itu, berpuluh-puluh pelabur berkumpul di hadapan syarikat berkenaan di Jalan Lunas di sini semalam.
Lebih 200 mangsa skim berkenaan membuat laporan polis sejak awal bulan ini. Laporan juga dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dalam sidang media oleh mangsa skim itu di hadapan pejabat syarikat terbabit di sini, semalam, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.
Menurut risalah, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usahasama koperasi.
Syarikat itu yang ditubuhkan pada 2008 dikatakan menggunakan Green Millenium Agrotech (M) Sdn Bhd, yang bertindak sebagai penternak cacing bagi pelabur. Syarikat itu membuka tujuh cawangan dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.
Bagaimanapun, syarikat induk itu dikatakan memungut wang pelaburan tanpa pengetahuan Green Millenium. Pengarah Green Millennium Agrotec (M) Sdn Bhd (GMA), Mohd Faisal Mohd Noor iaitu syarikat yang mengendalikan penternakan cacing bagi syarikat terbabit mendakwa syarikat berkenaan menggunakan kepala surat GMA untuk mengambil wang pelaburan daripada penternak dan pelabur skim itu, menyebabkan syarikatnya kini berada dalam dilema.
Mohd Faizal berkata pihaknya turut membuat laporan polis kerana nama syarikatnya digunakan sejak Julai lalu untuk urusan memungut pelaburan.
Dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lalu.
Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, dari Sungai Dua, Pulau Pinang, berkata dia melabur RM35,000 sejak bulan Ogos selapas dijanjikan pulangan bulanan Rm833.80 selama setahun. Apabila wang yang dijanjikan tidak dimasukkan ke dalam akaun bank, beliau dimaklumkan oleh syarikat menghadapi masalah dan berjanji akan memasukkan wang tersebut secepat mungkin. Hingga sekarang beliau tidak menerima apa-apa.
“Saya melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran syarikat terbabit dan setakat ini mendapat pulangan RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lalu,” kata Omar Ismail, bekas guru, setelah dijanjikan pulangan bulanan 3.3 peratus.
Peniaga, K Jayakumar, 42, dari Taman Kulim Square, Lunas, dekat sini, bersama 10 anggota keluarganya kerugian RM500,000 kerana menyertai skim pelaburan itu sejak 6 Jun tahun lalu.
Jayakumar berkata, mereka hanya dibayar dua kali daripada pelaburan dibuat dan beberapa cek pembayaran selepas itu ditolak bank.
“Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengembalikan wang pelaburan dibuat kerana ramai meminjam dari bank dan saudara-mara membuat pelaburan itu,” katanya.
BERNAMA





Bagus blog ini yang mengisarkan isu-isu kepenggunaan..teruskan usahan saudara..