Berjaya. Semua orang ingin berjaya dalam kehidupan. Tiada orang yang mahu gagal. Namun bagaimana ingin menjadi seorang yang berjaya? Adakah anda perlukan kelayakan tertentu? Mempunyai kelulusan akademik yang tinggi? Atau anda perlu bekerja keras siang dan malam? Atau masa depan anda telah ditentukan oleh nasib anda? Beras secupak takkan menjadi segantang.
Namun masih ramai yang ‘gagal’ dalam kehidupan mereka, walaupun mempunyai ilmu, berpendidikan dan skil tertentu. Mereka masih lagi berusaha untuk mencapai kejayaan, bekerja keras, tanpa mengira waktu, tetapi akhirnya kemewahan masih jauh panggang dari api.
Anda mungkin mengenali seseorang yang mempunyai ‘nasib’ begitu baik, tetapi masih juga belum berjaya. Mungkin mewarisi kekayaan tetapi masih hidup dalam kesedihan, atau hilang semua warisan kekayaan kerana gagal menguruskannya dengan baik.
Sebenarnya untuk berjaya dalam kehidupan anda bukanlah satu rahsia besar. Ramai orang yang telah melakukannya. Anda juga mampu melakukannya. Robert J. Ringer dalam bukunya, The 10 Habits of Highly Successful People, menyatakan “success is a matter of understanding and religiously practicing spesific, simple habits that always lead to success” (kejayaan adalah bagaimana memahami dan melakukan sesuatu secara spesifik, dan menjadikannya amalan akan membawa anda kearah kejayaan)
Amalan kejayaan boleh dipelajari jika anda bersedia untuk menjadi seorang yang berjaya. Kehidupan yang berjaya tidak lebih dari sekadar jumlah tahun kejayaan, kejayaan tahunan tidak lebih dari jumlah kejayaan bulanan anda, kejayaan bulanan anda tidak lebih dari sekadar jumlah kejayaan mingguan anda, dan kejayaan mingguan tidak lebih dari jumlah kejayaan harian anda. Oleh itu apa yang perlu anda lakukan adalah ‘mengamalkan kejayaan’ itu.
Tidak kira apa bidang yang anda ceburi, karier yang anda pilih, anda mampu merubahnya jika anda ‘mengamalkan kejayaan’ setiap hari. Akhirnya beras secupak akan menjadi segantang, malah bergantang-gantang jika anda mahu.
Tuhan tidak akan merubah nasib suatu kaum, kecuali kalau kaum itu tidak ada keinginan merubah nasibnya.
Renungkanlah sejenak…
