Mungkin ramai yang terperanjat dengan ulasan Ustaz Zaharuddin mengenai suatu pelaburan yang berbentuk piramid di dalam Metro Ahad (25/10/2009) pada baru-baru ini. Beliau menjawab soalan pembaca berkaitan pelaburan yang memerlukan modal serendah RM30.00. Caranya ialah dengan membeli wang pos berjumlah RM5.00 setiap satu dan enam keping. Setiap satunya hendaklah ditulis dengan nama si penerima ‘di atas’ kita dan ini merupakan sumbangan ikhlas daripada kita. Kemudian setelah nama kita tersenarai, kita mencari ahli-ahli baru pula di bawah dan giliran kita pula mendapat sumbangan RM5.00 daripada ahli di bawah. Dalam masa sebulan berbelas-belas keping wang pos yang diterima yang berjumlah beratus-ratus ringgit.
Sebenarnya skim pelaburan wang pos bukanlah perkara baru, cuma caranya yang berbeza. Jika dahulu menggunakan wang pos melalui surat, kini beralih kepada penggunaan Internet seperti memasukkan wang terus ke akaun penerima. Konsepnya masih lagi sama. Perkataan seperti ‘derma’, ’sumbangan ikhlas’, ‘bantu-membantu’, ‘tolong-menolong’, ta’awun dan lain-lain akan digunakan oleh penganjur untuk menarik pelabur. Soalannya adakah program tersebut HALAL?
Ustaz Zaharuddin menjelaskan “pelaburan tersebut TIDAK HALAL di sisi Islam dan ia juga bukanlah pelaburan“, kerana rukun pelaburan islam di bawah konsep mudarabah dan musharakah adalah: -
· Wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui
· Pelabur
· Pengusaha
· Bisnes yang halal / Pekerjaannya
Antara syarat sahnya pula :-
· Nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama.
· Tiada jaminan modal selamat.
· Tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu.
Jika dilihat, salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah adalah mestilah mempunyai satu perniagaan yang halal serta terbuka kepada untung dan rugi.

Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Dalam kes skim pelaburan itu, duit pelabur (peserta iaitu dalam bentuk wang pos itu) adalah untuk melabur dalam perniagaan itu tetapi tiada perniagaan tertentu, malah pelaburan itu pula dianggap sumber mendapat untung, atau dalam kata lain, ‘pelaburan’ atau duit penyertaan terkumpul itu adalah dianggap bisnes dan keuntungannya, lalu manakah perniagaannya sebagaimana yang disyaratkan? Apa produknya? Mana pula “profit sharing ratio”nya? Maka ini jelas tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam.
Menjual pusingan ahli yang menyertai dan sistem piramid adalah tidak diterima oleh Islam walaupun ia cuba berselindung di sebalik nama ‘ta’awun’ (kerjasama), sedekah, tolong menolong dan sebagainya.
Selain itu, proses ini juga mempunyai elemen riba di dalamnya, ini adalah kerana setiap pihak yang ‘menderma’ memasuki sistem dengan niat, harapan serta janji oleh pihak pengurusan bahawa mereka mendapat derma berbentuk wang dengan nilai yang lebih banyak dari apa yang diberinya.
Di dalam Fiqh Islam, seseorang yang menderma tidaklah boleh mensyaratkan kepada penerima atau mana-mana pengurus sistem untuk mengembalikan sejumlah wang semula kepadanya, khususnya yang lebih besar. Jika ini berlaku, sifat hadiah tadi akan berubah kepada daripada hadiah yang biasa kepada ‘hibah at-thawab’ atau ‘hadiah bersyarat pulangan’ (hibah bisyarti ‘iwad) yang mana keadaan ini akan mengubah sifat kontrak asal derma iaitu ‘tabarru’at’ kepada sifat jual beli iaitu ‘mu’awadah maliah’.
Apabila ia telah berubah menjadi sifat jual beli, Islam mengharamkan pertukaran wang dengan wang yang berbeza nilainya dan bertangguh pula. Selain itu, sifat jual beli mewajibkan agar semua rukun dan syaratnya ditepati dan jelas seperti subject matter, tempoh, nilai, pihak yang bertransaksi dan lain-lain.
Dalam program derma wang pos ini, kebanyakannya tidak diketahui, seperti bila tempoh dapat semula wang, berapa nilainya, siapa pihak di sebelah sana yang sedang berurusan dengannya dan banyak lagi. Hasil dari itu, konsep ta’awun atau bantu membantu melalui sistem wang pos piramid ini tergolong dalam kategori yang bermasalah dari sudut rukun jual beli dan juga jatuh dalam kategori riba.
Selain dari tergolong dalam kategori riba atau syubhat riba, ia juga mempunyai elemen judi kerana peserta tidak pasti wang yang telah diderma akan mampu membawa pulangan wang yang lebih banyak atau tidak di kemudian hari, namun harapannya sentiasa berkobar untuk mendapat ‘derma’ yang lebih banyak. Tatkala itu, definisi judi, spekulasi dan gharar, ketiga-tiganya wujud di dalam permainan ini.
Maka inilah sifat program derma wang pos, yang jelas jatuh dalam erti mengambil harta orang lain tanpa kerja yang setimpal, pemberian yang setimpal. Program ini amat sama dengan tabiat Riba, iaitu wang dipaksa melahirkan wang yang lain tanpa sebarang perantara aset dan kerja yang menambah nilai kepada ekonomi setempat.
Itu berlaku apabila wang diderma dan mengharap pulangan derma dari yang lain kepadanya. Apakah nilai pertumbuhan yang dihasilkan selain menambahkan ketamakan dan menghilangkan pahala dari sesebuah derma? Bukankah itu sama sahaja dengan sifat riba? Sama seperti meminjamkan wang dan menerima pulangan yang lebih darinya tanpa sebarang kerja yang setimpal dan tiada pula aset yang diniagakan.
Ustaz Zaharuddin Abdul RahmanRingkasnya, sistem derma wang pos atas apa juga nama yang digunakan adalah sama seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas jumlah orang yang masuk di dalam sistem. Daripada bentuk yang saudara berikan, ia jelas diharamkan oleh sebab, syubhat riba, elemen judi, gharar dan juga makan harta secara batill
KLIK DI SINI UNTUK ULASAN PENUH