Sama ada anda setuju ataupun tidak, jika nama tersenarai di CTOS (Credit Tip-Off Service Sdn Bhd), dan anda tidak melakukan apa-apa, anda akan menghadapi masalah mendapatkan kredit kewangan seperti pinjaman kewangan peribadi, kenderaan, perumahan, pendidikan, perniagaan ataupun mendapatkan kad kredit.
Hari ini saya menunaikan salah satu azam kewangan tahun 2010 iaitu menyelesaikan pertikaian dengan CTOS. Walaupun saya telah menyelesaikan hutang pinjaman sekitar tahun 2004, apabila bersetuju sebagai penjamin, nama saya masih lagi di’senarai-hitam‘kan yang menyebabkan saya menghadapi pelbagai masalah untuk membuat pinjaman kewangan.
Atas pengalaman pahit itu, apabila diminta menjadi penjamin, saya dengan berat hati menolak. Rasanya ramai di antara kita yang ‘liat’ untuk menjadi penjamin. Risikonya terlalu tinggi. Dalam kes saya, kes pertikaian itu hanyalah sekitar RM2,000 dengan salah sebuah agensi kerajaan.
Sekitar tahun 2007, isu mengenai CTOS pernah dibangkitkan sehingga ke Parlimen. Walupun institusi perbankan dan kewangan diminta tidak merujuk kepada CTOS, realiti adalah disebaliknya. Ada beberapa institusi kewangan dan perbankan yang masih merujuk kepada CTOS untuk kelulusan pinjaman.
Walaupun anda telah membuat penyelesaian kredit atau hutang anda, nama anda masih tersenarai di ‘database‘ CTOS jika anda tidak mengambil langkah susulan mengemaskinikan data kewangan anda.
Ada institusi kewangan yang akan mengemaskinikan maklumat tersebut selepas anda telah menyelesaikan hutang anda, namun masih ada agensi, institusi kewangan mahupun perbankan tidak melakukan apa-apa, dan anda akan menghadapi kesukaran untuk membuat pinjaman kewangan di masa akan datang.
CTOS mendakwa syarikat CTOS bukanlah menyenarai-hitamkan (blacklisted) peminjam, tetapi satu sistem yang dinamakan “a lead information system“! Hakikatnya jika ada nama di CTOS, anda adalah ‘blacklisted’.
Oleh itu anda perlu mengambil langkah perlu, setelah anda menyelesaikan pinjaman anda dengan agensi pinjaman, kewangan atau perbankan, iaitu membuat semakan “CTOS Self Check” untuk mengemaskinikan maklumat kewangan anda, kerana perkhidmatan ini adalah PERCUMA!
Langkah pertama adalah anda boleh memuat-turun (download) borang dari laman web CTOS, sama ada untuk individu ataupun syarikat.
Seterusnya dapatkan pengesahan daripada Pesuruhanjaya Sumpah di Borang, salinan Kad pengenalan dan dokumen berkaitan terutamanya apabila anda telah membuat penyelesaian hutang/pinjaman tersebut.
Akhir sekali anda boleh menghantar ke CTOS Sdn Bhd melalui pos ataupun jika anda berada di Lembah Kelang,anda dinasihatkan terus ke pejabat CTOS. Anda akan dimaklumkan tentang kedudukan maklumat kewangan anda.
Langkah seterusnya saya adalah membuat semakan pula dengan Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang dikenali dengan dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS).
Info lanjut :
CTOS – http://www.ctos.com.my
CCRIS – http://creditbureau.bnm.gov.my


Be First To Comment
Leave Your Comments Below