Jika anda telah mengenal formula T.I.P.U bagi mengenal pasti skim pelaburan tidak sah atau skim cepat kaya, sekarang kita gunakan formula C.E.L.I.K. bagi mengelak terus tertipu. Anda tidak akan terpedaya lagi dengan skim pelaburan yang tidak wujud. Ramai yang terpedaya tetapi tidak membuat aduan kerana menganggap merka kurang bernasib baik dan menyerahkan kepada takdir tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Sikap acuh tak acuh ini hanya menggalakkan lagi skim penipuan bercambah. Jika mangsa tampil memberi maklumat mengenai skim penipuan ini, anda sebenarnya membantu pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Securiti Malaysia (SC) membanteras kegiatan mereka sebelum orang lain menjadi mangsa mereka.
Ada lima formula “C.E.L.I.K” yang boleh anda gunakan, iaitu:
C – CURIGA. Jangan mudah percaya dengan janji kosong. Bersikap waspada. Jangan tersu percaya dengan apa yang didengar. Jika sesuatu itu nampak sukar dipercayai, biasanya memang ia tidak boleh dipercayai.
E – ELAK emosi. Sabar dan jangan beremosi apabila melabur.
L – LESEN. Periksa lesen atau pengesahan kuasa pihak yang menawarkan pelaburan tersebut dan buat semakan dengan SC.
I – INFORMASI. Maklumat merupakan senjata yang baik bagi menghadapi penipuan. Jangan sekali-kali melaburkan wang anda melainkan setelah anda mendapat maklumat yang boleh dipercayai, bebas dan tepat mengenai sesuatu tawaran pelaburan. Jika berasa ragu-ragu, segeralah buat semakan dengan SC.
K – KUAT semangat. Jangan mudah terpedaya dengan taktik jualan pelbagai dan nampak menarik. Jangan tamak dan terikut-ikut pilihan ramai. Buat keputusan berasaskan objektif kewangan dan profil risiko anda. Ada banyak peluang pelaburan yang tulen. Jika anda terlepas satu peluang, ada banyak lagi peluang lain.
Ingatlah, jika anda nampak T.I.P.U., anda kenalah C.E.L.I.K. Dan jika anda mengenal pasti sesuatu skim pelaburan mencurigakan, SEGERA laporkan kepada Jabatan Aduan dan Hal Ehwal Pelabur, Pengaduan SC (03-6204 8999) atau emel aduan@seccom.com.my
Info: Laman Web Pelabur Malaysia http://www.min.com.my
Sumber: SIDC

The Star, 13 Julai 2009


Be First To Comment
Leave Your Comments Below