Tiket penerbangan percuma, diskaun membeli-belah serta menginap di hotel terpilih di seluruh Malaysia. Itu adalah modus operandi terbaru yang digunakan oleh sindiket penipuan kad kredit dan debit untuk mengaburi mangsa yang ghairah untuk mendapatkan pakej yang ditawarkan.
Sindiket tersebut yang beroperasi di ibu negara akan menghubungi mangsa melalui telefon dan mendapatkan angka yang tertera di hadapan dan belakang kad kredit dan debit sebelum memindahkan wang dalam akaun individu terbabit tanpa disedari.
Seorang mangsa, Abdullah Awang, 26, berkata, beliau hampir ditipu oleh sindiket terbabit namun nasib menyebelahinya kerana baki wang simpanan di dalam akaunnya hanya tinggal RM1.
“Saya mendapat panggilan daripada seorang wanita yang bertanyakan sama ada saya menggunakan kad kredit atau debit. Sebaik diberitahu saya menggunakan kad debit, wanita terbabit terus meminta saya membacakan 16 digit angka di depan dan tiga angka di belakang kad debit,” katanya.
Menurut Abdullah, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa dan terus memberitahu angka yang tertera pada kad debit itu kepada wanita tersebut. Wanita itu kemudian menawarkan pakej dengan hanya perlu membayar RM470 untuk pendaftaran seumur hidup sebelum mendapat kad keahlian untuk menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.
“Antara pakej yang diberikan termasuk tiket kapal penerbangan ke beberapa negara di Asia Tenggara untuk dua orang dan penginapan di hotel bertaraf empat bintang di seluruh Malaysia untuk seumur hidup,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun merasa tidak sedap hati lalu menghubungi pihak bank untuk bertanyakan risiko sekiranya angka tertera di depan dan belakang diketahui orang lain. Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa individu yang mengetahui nombor pada kad miliknya boleh memindahkan wang dari akaun simpanan ke akaun lain.
Bagaimanapun, Addullah bersyukur kerana hajat sindiket terbabit tidak tercapai kerana wang dalam akaunnya hanya tinggal RM1 dan beliau terus menukar kad debit yang baru bagi mengelakkan menjadi mangsa.
Sumber: Rizalman Nor (rizalman.nor@kosmo.com.my) Kosmo! 26 Disember 2009


Be First To Comment
Leave Your Comments Below