Tinggal sehari lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan Ma’al Hijrah 1431. Tinggal lagi dua minggu, kita akan menyambut tahun Masihi 2010. Dan bukanlah asing kedatangan tahun baru akan disambut dengan pelbagai azam tahun baru ataupun sesetengahnya mengambil peluang bermuhasabah diri.
Bagaimana pula persediaan kita dari segi kewangan? Sudahkah kita membuat perancangan bagi mencapai impian atau matlamat hidup kita? Ataupun kita masih dengan sikap “nantilah dulu…” kerana kita belum bersedia mencapai impian dengan menetapkan satu matlamat kewangan?
Di antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk menetapkan matlamat kewangan dalam mencapai impian kita ialah:
1. Membabitkan Seluruh Ahli keluarga
Ketika menentukan matlamat kewangan, penglibatan seluruh ahli keluarga secara berterusan adalah lebih baik. Cadangan, komitmen dan sokongan mereka amat penting dalam mencapai matlamat yang ditetapkan. Anda dapat mengatur satu strategi yang bersesuaian dengan keperluan keluarga dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat kewangan tersebut.
2. Buat Matlamat Yang S.M.A.R.T.
Matlamat anda perlulah khusus, boleh diukur, boleh dicapai, realistik dan ada tempoh tertentu (Specific, Measurable, Attainable, Relevant, Time-bound)
Contohnya, jika impian anda ialah untuk menghantar anak ke menara gading, bincanglah bersama ahli keluarga cara mendapat pendapatan lebih atau bagaimana mengurangkan perbelanjaan bagi menampung kos pendidikan yang bakal ditanggung.
Contoh kedua, matlamat anda adalah menjelaskan hutang kad kredit bank XYZ berjumlah RM1,500 (khusus) menjelang Oktober 2011 (ada tempoh tertentu) dengan bayaran bulanan RM150 (boleh diukur).
Pastikan matlamat tersebut boleh dicapai dan adalah realisitik dengan bertanya pada diri sendiri: “Mampukah saya menyimpan RM150 sebulan sebagaimana ditetapkan?”
3. Tentukan Matlamat Yang Lebih Utama
Senaraikan matlamat anda mengikut keutamaan dari segi kepentingan atau tempoh masa dan letakkan senarai itu di tempat yang mudah dilihat setiap hari.
Contohnya jika matlamat anda adalah bercuti ke luar negara, membeli rumah, mebeli kereta baru, mungkin anda ingin memberi keutamaan kepada matlamat yang paling penting terlebih dahulu.
4. Buat Pelan Tindakan
Anda perlu menentukan langkah khusus yang perlu diambil dan melaksanakannya. Kebanyakkan orang bijak merancang, tetapi gagal melaksanakannya. Jangan biarkan keadaan ini berlaku pada anda.
Contohnya jika anda menetapkan matlamat meningkatkan tabungan sebanyak RM150 sebulan, bua pelan tindakan untuk mencapainya. Anda boleh membawa bekal ke tempat kerja, berkongsi kereta, kurangkan perbelanjaan makan luar dan lain-lain. Apa yang penting pelan tersebut perlulah praktikal, kreatif dan bersesuaian dengan gaya hidup anda.
5. Pantau Perkembangan Anda
Akhir sekali, anda perlulah memantau perkembangan sendiri secara kerap bagi memastikan yang anda berada pada laluan yang betul.
Contohnya, jika anda ingin menyimpan RM150 sebulan, periksa semasa bulan ke-empat, adakah anda mempunyai RM600 dalam simpanan?
Jika ya, anda berada di landasan yang tepat. Jika tidak, lihat semula di mana silapnya. Selain itu berilah ruang untuk perubahan (jika perlu) dalam perancangan anda.
Ingatlah, kebanyakkan orang tidak merancang untuk gagal tetapi mereka gagal untuk merancang.


Be First To Comment
Leave Your Comments Below