Tiga puluh peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) sejak setahun lalu didapati tidak halal kerana mengandungi gelatin kapsul daripada babi. Produk kesihatan itu yang dihantar Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan untuk ujian, kini dijual secara berleluasa di pasaran sejak beberapa tahun lalu.
Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman, berkata pengeluar menggunakan gelatin babi yang dihasilkan daripada campuran protein yang diekstrak daripada kulit babi kerana kosnya lebih murah berbanding gelatin lembu.
“Situasi ini agak membimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal. Tetapi, ia tidak menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar menukar kepada gelatin halal apabila dimaklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penemuan kaedah baru bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat yang dibangunkan penyelidik USM diketuai pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi, Prof Madya Gam Lay Harn, di sini, semalam.
Dr Gam dan tiga pelajarnya, Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai, berjaya menghasilkan kaedah mengenal pasti sumber bahan membuat gelatin kapsul ubat pertama di Malaysia.
Sehubungan itu, Dr Syed Azhar berharap Kementerian Kesihatan dapat mengambil tindakan segera dengan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber halal.
“Langkah segera itu perlu bagi mengelak situasi dan masalah seperti ini berulang,” katanya.
Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
Klik Di Sini Untuk Berita Penuh



Be First To Comment
Leave Your Comments Below