Bank Negara, mulai 1 Januari lalu, telah membuat pengkelasan tempoh hutang tidak berbayar (NPL) bank bagi semua jenis kemudahan kredit diselaraskan kepada tiga bulan berbanding sehingga enam bulan sebelum ini.
Berikutan keputusan Bank Negara Malaysia itu, bank dijangka lebih berhati-hati ketika meluluskan permohonan pinjaman, selain tegas terhadap pengguna yang gagal melunaskan pinjaman mereka mengikut jadual.
Difahamkan, Bank Negara baru-baru ini menghantar pekeliling kepada syarikat kewangan tempatan mengenai perubahan tempoh NPL dan peruntukan pelarasan membaik pulih pinjaman.
Bank Negara mengambil keputusan itu untuk memenuhi keperluan piawaian antarabangsa di bawah Standard Laporan Kewangan 139 (FRS139).
Langkah memendekkan tempoh pengkelasan NPL daripada enam bulan kepada tiga bulan itu turut membabitkan kemudahan overdraf, pinjaman berjangka, pajakan, sewa beli, pusingan kredit dan pinjaman lain.
Kategori kredit lain seperti kemudahan pinjaman perdagangan dan kad kredit kekal dalam klasifikasi tiga bulan seperti sebelumnya.
Berikutan pelaksanaan perubahan tempoh NPL itu juga, bank juga perlu menstruktur semula pinjaman mereka.
Langkah Bank Negara akan menyebabkan bank bertindak tegas terhadap peminjam kurang berdisiplin dalam membayar pinjaman kerana bank kini terpaksa membuat peruntukan NPL sebaik tiga bulan berturut-turut peminjam gagal melunaskan pinjaman.
Pada masa kini hampir semua bank sudah mengguna pakai had tiga bulan untuk kategori NPL termasuk pinjaman sewa beli kenderaan, namun ketegasan dalam melaksanakannya bergantung kepada risiko aset masing-masing.
Berikutan dasar itu, peminjam kini perlu lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menggunakan kemudahan kredit. Jika dulu peminjam ’selamat’ jika tidak bayar hutang sewa beli kereta lebih tiga bulan, sekarang ia tidak mungkin berlaku.
Walaupun begitu, bagi pelanggan bermasalah bank terpaksa menstruktur semula pinjaman masing-masing.
Bank Negara merombak kaedah pengiraan NPL daripada tiga bulan kepada enam bulan pada 23 September 1998, dalam usaha memperkukuhkan sistem perbankan negara yang terjejas ekoran Krisis Kewangan Asia 1997.











